google.com, pub-5269643150766193, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Undangan Istimewa - Prof. Muhd Kamil Ibrahim

Undangan Istimewa - Prof. Muhd Kamil Ibrahim



Tetamu Istimewa..subhanallah.


Pertemuan di Raudhah

Dua hari lepas.. selepas solat Isyak suami dengan begitu teruja menyatakan ada terjumpa dengan penulis buku best seller "Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman" di tempat yang mulia ..Raudhah asy-Syarifah, Masjid Nabawi. Seronok tidak terkata. 

Pada awalnya suami saya tidak begitu mengenali Prof. Kamil kerana penampilan beliau yang agak berbeza dari kebiasaan di Malaysia dengan berjubah ala Arab. Terkejut juga..kerana tidak tahu beliau sudah bermastautin di Madinah..baru lebih kurang sebulan. Namun, beliau dahulu yang menyapa suami saya. Orangnya begitu peramah sekali..membuatkan kita tidak berasa kekok walau baru pertama kali berjumpa. Banyak ilmu dan "lecture" yang diberikan sepanjang waktu antara maghrib dan isyak..seperti seorang professor yang memberi kuliah kepada pelajar-pelajarnya,  kata suami saya. Masya Allah..

Sebelum berpisah beliau sempat bertukar nombor telefon dan beria-ia mengundang kami ke rumahnya. Malu pun ada..sebab langsung tidak kenal sebelum ini. Bercampur baur perasaan kami..gembira ada terharu pun ada. Seronok jumpa orang Melayu..rakyat Malaysia..ajak ke rumahnya di Madinah..seorang yang terkenal pulak tu. Tempoh kami di Madinah semakin pendek..kami akan ke Mekah lusa. Prof pula bertugas sebagai pensyarah di universiti pada waktu siang..nak tunggu hujung minggu dah tak sempat. Jika tidak buat temujanji segera mungkin pertemuan dengan keluarga beliau tidak menjadi kenyataan. Tapi kami diberikan gerak hati oleh-Nya agar memenuhi undangan beliau.

Travelog Haji  adalah di antara buku yang saya baca sebelum menunaikan umrah pada tahun 2010 yang lalu. Alhamdulillah...dari buku ini, banyak ilmu berkenaan haji dan umrah yang saya timba. Dari aspek persediaan fizikal, mental dan rohani hinggalah ringkasan aktiviti harian seorang jemaah haji/umrah. Manakala buku hasil karya isteri Prof. Kamil..Kak Roza "Travelog Cinta Abadi" saya jadikan di antara bahan bacaan untuk mengisi masa lapang atau ketika teringatkan tanah air (kerana paparan di dalam buku ini bercirikan Malaysia) ketika menunaikan umrah dua tahun lepas.


Hari ke-6 di Madinah (05/10/2011 - Rabu)


Di rumah Prof. Muhd Kamil


Selepas Isyak..jumpa di Tandas No. 10 (Masjid Nabawi dikelilingi oleh tandas yang bernombor..mudah untuk buat janjitemu)
Prof bawa kami ke tempat perkhidmatan teksi.
"Ada yang tau Bahasa Arab tak?" Prof bertanya.
"Isteri saya boleh",  suami saya mencelah.
"Oklah..senang sikit. Saya baru belajar beberapa perkataan Arab. Yamin (kanan)..Yasar (kiri).."

Sepanjang dalam perjalanan kami sempat berbual-bual dengan Prof dan pemandu teksi.
Menaiki teksi lebih kurang 10 minit..sampailah ke rumah beliau.
"Mana Kak Roza? Di rumah ke?"
"Dia pun sedang uruskan tetamu lagi satu kumpulan..saudara dari kampung yang buat haji.."

Kami tiba di rumah beliau (apartmen) dengan disambut oleh anak-anak beliau. Tidak lama kemudian muncullah Kak Roza bersama empat orang ahli keluarga yang datang menunaikan haji pada tahun ini.





Welcoming drink...Lemon Nak Nak (resepi ada dalam majalah Anis)
Kami dihidangkan dengan minuman nak nak yang enak sebagai welcoming drink. Ia diperbuat daripada lemon yang diperah..masuk dalam gelas kecil..cukuplah untuk membuka selera. Anak-anak Prof begitu mesra dan ringan tulang membantu melayan tetamu yang datang.





Hidangan istimewa nasi Arab

Setelah minum nak nak, kami dihidangkan dengan nasi Arab hasil air tangan Kak Roza sendiri..cita rasa Melayu. Masya Allah...sedapnya! Sejak berada di Madinah, inilah pertama kali kami makan masakan citarasa Melayu. Ada juga beli nasi Arab di kedai / restoren, tapi yang ini memang sedap. Betul-betul sedap! Tapi malu nak cakap lebih-lebih depan mereka ..dan tetamu yang lain. Walaupun kami dah makan malam di hotel sebelum solat maghrib, ia tidak menjejaskan selera kami. Baru lebih kurang sebulan di Madinah, Kak Roza telah mempelajari pelbagai jenis masakan ala Arab yang begitu membuka selera.

Sambil Kak Roza melayan tetamu dengan penuh ceria walaupun agak kepenatan, beliau tidak lokek berkongsi resepi dengan kami semua. Saya yang masih terkedu..macam tak percaya berjumpa dengan mereka..tidak banyak berbual...lebih bersedia menjadi pendengar.




Pasta..pemberian jiran
Pasta ini ialah pemberian jiran Prof sebelum kami tiba. Tapi sudah cukup kenyang makan nasi Arab yang sangat sedap. Sesungguhnya semangat kejiranan dan silaturrahim di sini amat baik walau berasal daripada negara, bangsa dan bahasa yang berbeza tetapi agama yang sama - Islam yang syumul.




Puding roti & kurma

Selesai makan nasi Arab dan hidangan air Teh Pudina yang segar, kami dihidangkan pula dengan pencuci mulut...puding istimewa. Sebelum makan, ambil gambar dulu. Segan juga nak ambil gambar makanan di rumah orang..tapi tuan rumah tiada masalah. Sedap dan segar teh pudina ni rupanya..selepas ini kami cuba resepi ini di hotel.

Di Mekah ada pasar buah-buahan dan sayur..jadi kami beli daun pudina di pasar (simpan dalam peti sejuk) dan kerap buat air teh pudina. Buat air teh dalam koleh, minum-minum bersama pasangan/ahli keluarga di tepi-tepi bilik hotel..atas tikar oren serbaguna TM. Di Malaysia pun kami buat air teh pudina. Setiap kali menghirupnya..pasti kenangan indah di Madinah dan Mekah menerjah memori manis kami.



Kek Kurma
Kek Coklat ini mengandungi campuran kurma yang menyelerakan. Sedap!




Puan Roza dan dua orang anak beliau





Puan Roza bersama para tetamu

Banyak yang kami bualkan dengan Prof sekeluarga...banyak juga nasihat yang dikongsikan walau Prof sudah penat bekerja pada waktu siang..menerima tetamu pada waktu malam..dan esoknya akan kembali bekerja. Di antara nasihat/ pesanan/hasil perbualan kami dengan Prof :
  • Rebutlah peluang ketika berada di Tanah Suci dengan solat berjemaah di masjid setiap waktu. Sejumlah wang telah dibelanjakan, berkorban masa dan tenaga, meninggalkan pekerjaan, tanah air dan kaum keluarga...manfaatkanlah masa di tanah suci sebaik mungkin.
  • Tambah juga dengan amalan membaca al-Quran, berzikir, iktikaf, bersedekah & berbuat baik
  • Cuba sedaya upaya untuk melakukan semua amalan haji dengan sempurna.
  • Jagalah aurat bagi wanita. Jika pakaian yang anda pakai sekarang ini tidak boleh dibawa untuk solat, bermakna anda belum lagi menutup aurat dengan sempurna kerana aurat wanita di dalam dan luar solat adalah sama..menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tangan.
  • Setiap yang berlaku ada hikmahnya...banyakkan bersabar dengan segala ujian yang datang (sambil beliau menceritakan pelbagai masalah/ujian/rezeki yang diterima beliau sebelum menerima tawaran bertugas di Universiti Madinah hingga kini - beliau tinggal di Madinah).
  • Janganlah bepakaian menutup aurat (wanita)..hanya ketika menunaikan umrah dan haji sahaja. Selepas pulang ke Malaysia..kembali seperti sediakala (yang tidak menutup aurat dengan sempurna).
  • Balik Malaysia, teruskan solat berjemaah di masjid.
  • Sandarkan seluruh kehidupan kita kepada-Nya.

  • Sekembali ke tanah air, ramai yang berkata..rindu Mekah, Madinah, Kaabah...namun apakah maksud rindu itu? Adakah hanya sekadar teringat kenangan ketika di sana? Sepatutnya rindu itu diisi dengan kerinduan ingin solat berjemaah lima waktu di masjid sebagaimana rutin ketika menunaikan haji atau umrah. Rindu ingin membaca al-Quran siang dan malam. Rindu ingin terus sentiasa berzikir, bersedekah, menutup aurat dengan sempurna dan terus beramal soleh..


Sambil menunggu teksi..bergambar buat kenangan..Jabal Uhudkah di belakang itu?


Apabila malam kian larut..tetamu beransur pulang. Prof mempelawa kami bermalam di rumah beliau kerana kebetulan ada bilik kosong untuk tetamu. Namun pelawaan beliau terpaksa kami tolak dengan baik kerana kami tidak membuat sebarang persediaan. Beliau menghantar kami hingga ke jalan utama dan membantu kami mencari teksi untuk pulang. Memandangkan hari sudah larut malam, kami cadangkan beliau pulang ke rumah dan kami akan cari teksi sendiri.

Syukur, masih ada teksi yang beroperasi. Prof ajar...masuk je teksi sebut " haram" yang bermaksud ke Masjid Nabawi. Kerana hotel kami berhampiran dengan masjid. Kalau dah sampai masjid..insya Allah kami boleh cari sendiri hotel.

Saya tanya berapa riyal ..dijawab SR10.
Hajj?
Naam (ya)..Min Malizia (dari Malaysia)

Hasil perbualan, pemandu teksi itu agak hairan mengapa jemaah haji Malaysia berada di kawasan ini (agak jauh dari kawasan hotel dan masjid) pada waktu tengah malam. Saya menceritakan hal sebenarnya. Berpusing-pusing juga pemandu teksi ni nak cari Hotel Movenpick (Anwar al-Madinah)..sebab ada hotel lain yang namanya sama ..Movenpick.

Tiba di hadapan hotel...kami nak bayar tambang teksi..dua kali ganda sebab kesian kat dia yang penat pusing-pusing cari hotel. Tetapi...pemandu itu bersungguh-sungguh menolak duit kami..katanya.."hadiah"..."hadiah  ya haj"...masya Allah. Mereka amat memuliakan dhuyufur rahman...tetamu Allah. Moga Allah memberkati dan memurahkan rezeki pemandu teksi itu.

Hampir pukul 12 tengah malam tiba di hotel. Kawan-kawan sebilik semua sudah lena..Hazah, Kak Azah, dan Kak Zai. Prof sms kami (ketika ini tiada lagi smartphone) bertanyakan sudah dapat teksi ke belum..sudah sampai di mana? Masya Allah..beliau sungguh prihatin dengan tetamunya yang baru dikenali ini. Alhamdulillah..semuanya berakhir dengan lancar dan selamat.

Subhanallah...subhanallah..
  • Kami digembirakan oleh Allah dengan berjumpa Prof. Sedikit kesedihan meninggalkan Malaysia untuk menunaikan ibadah haji terubat dengan berjumpa rakyat Malaysia yang baik hati - Prof, Puan Roza & keluarga. Kami tidak mengenali sesiapa kecuali rakan sebilik sahaja. Kini bertambahlah kenalan/saudara kami di sini.
  • Selera Melayu kami yang baru hendak dibiasakan dengan citarasa Madinah....terubat dengan masakan Kak Roza yang sungguh enak. Terima kasih.
  • Kami diberi peringatan oleh Allah melalui perantaraan nasihat dan pesanan oleh Prof. yang amat berguna dan menusuk kalbu sebelum kami menjejakkan kaki ke Mekah al-Mukarramah untuk menunaikan haji. Alhamdulillah

Kesimpulannya, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas segala nikmat dan kuniaan-Nya. Jutaan terima kasih kepada Prof Muhd Kamil sekeluarga yang telah menjemput dan menerima kami sebagai tetamunya yang langsung tidak dikenalinya dengan layanan yang begitu baik sekali. Sungguh mulia hati kalian sekeluarga. Walaupun masih banyak urusan peribadi (berkaitan perpindahan ke Madinah) yang belum selesai, beliau mengambil kesempatan untuk meraikan rakyat Malaysia yang menjadi tetamu Allah pada musim haji atau umrah. Banyak perkara tersirat yang kami pelajari. Hanya doa kami panjatkan buat mereka.

Semoga Allah merahmati Prof sekeluarga. Amin ya rabbal a'lamin


(Kembali ke tanah air, saya terus mengikuti nukilan Prof. dan Puan Roza dalam majalah Anis - Rumah kecil di Jabal Uhud. Dalam hati berkata..saya pernah sampai ke rumah ini..Allahu akbar)
Previous Post Next Post