google.com, pub-5269643150766193, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Madinah : Ladang Kurma, Masjid Qiblatain & Bukit Uhud

Madinah : Ladang Kurma, Masjid Qiblatain & Bukit Uhud

Hari Kedua Di Madinah (01/10/2011- Sabtu)

Ziarah Luar

(a)   Ke Ladang Kurma

              Setelah menziarahi masjid Quba', kami dibawa ke ladang kurma (kalau di sini kita panggil "kebun"..so jangan bayangkan ladang yang berekar-ekar luasnya). Ladang kurma di Madinah ada beberapa buah. Masa umrah dulu ke ladang lain..dan sekarang ke ladang lain pula. Fenomenanya lebih kurang sama..ada tempat parking bas, ramai orang, ada pokok kurma dan jualan kurma di dalam kedai. Saya tak teringat nak ambil nama ladang tu. Apa yang pasti, kami tidak beli apa-apa di sini, sekadar tengok-tengok dari luar sahaja. Buah kurma baru lepas dituai pada Ramadhan yang lalu. Oleh itu, tiada buah kurma di atas pokok ketika ini.

              Masa umrah tahun lepas, kami dibawa ke ladang yang agak "meriah". Dalam kedai ada pelbagai jenis manisan, coklat dan produk kurma. Boleh makan percuma...tapi kalau nak bawa balik kena beli. Pengunjung terlalu ramai..jadi demi menjaga kemabruran haji..pastikan anda telah membuat bayaran sebelum keluar. Di belakang kedai ada disediakan tempat duduk dan air teh percuma untuk bersantai dan beristirehat setelah penat melawat ladang dan bergambar. Seronok dapat tengok pokok kurma secara "live".

            Kurma di Madinah adalah yang baik kerana tumbuh di bumi yang dijamin kesuburannya oleh Allah SWT. Apatah lagi kurma "Nabi" atau "Ajwa". Ada pelbagai harga mengikut kualiti. Dari SR60 hingga SR120 sekilogram pun ada. Kalau di Malaysia tentu lagi mahal hingga RM150/kg dsb. Bila berbual-bual dengan jemaah lain yang sudah berpengalaman, mereka mencadangkan agar kurma dibeli di Pasar Kurma Madinah berbanding di Mekah.




Buah kurma masih mentah dan hijau pada Jun


Subhanallah..amat gembira apabila kali pertama dapat lihat buah kurma di bumi Madinah



Inilah sepohon kurma..lebih kurang macam pokok kelapa sawit di Malaysia. 









Jom ke ladang kurma



Pokok kurma kalau di Malaysia macam pokok kelapa ..semua bahagiannya amat bermanfaat.




 
Batang kurma memang kukuh..patutlah dijadikan tiang Masjid Quba' pada zaman Rasulullah SAW dulu






(b) Masjid Qiblataian

      Masjid ini terletak di barat laut Madinah berdekatan dengan Universiti Islam Madinah. Ia diberi nama
      Qiblatain (Masjid Dua Kiblat) bersempena dengan peristiwa turunnya perintah Allah agar Rasulullah
      SAW menjadikan Kaabah sebagai kiblat menggantikan Baitl Maqdis.

     Peristiwa nii berlaku pada tahun 2 Hijrah. Baginda dan para sahabat ke perkampungan Bani Salamah
     sebagai memenuhi jemputan makan tengah hari daripada Ummu Bisyr ibn al-Bara'. Tiba waktu Zohor,
     baginda solat di Masjid Bani Salamah berkiblatkan Baitul Maqdis. Pada rakaat kedua, turun firman Allah
     dalam surah al-Baqarah : ayat 144 yang bermaksud "...Maka sesungguhnya Kami akan memalingkan
     kamu ke arah kiblat yang kamu sukai, oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram...

     Lantas baginda berpusing ke belakang (180 darjah) lalu menghadap ke Baitullah iaitu selari dengan
     al-Mizab (pancur emas) dan baginda meneruskan solat hingga sempurna. Oleh itu, dalam solat zohor ini 
     Rasulullah SAW  mengerjakan solat dengan menghada ke arah dua kiblat iaitu Baitul Maqdis dan
     Baitullah.

     Oleh kerana kesuntukan masa, kami hanya melihat masjid ini dari dalam bas sahaja. namun demikian,
     sewaktu mengerjakan umrah tahun lepas, sempat solat dan melihat sekitar mesjid ini sambil menghayati
     sirah Rasulullah yang berlaku di sini. Ya Rasulullah..engkau pernah di sini suatu ketika dahulu. Kini kami
     menjejaki mu...











(c) Bukit Uhud

     Seterusnya kami dibawa  ke Bukit Uhud. Umat islam disunatkan menziarahi Maqam Syuhada Uhud
     untuk memberi salam dan berdoa untuk kesejahteraan mereka. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan
     oleh 'Ubadah ibn al-Somit  menyatakan bahawa Rasulullah SAW sering menziarahi maqam ini untuk
     mengucapkan salam dengan ucapan " Selamat sejahtera buat kamu di atas kesabaran kamu, dan
     nikmatilah sebaik-baik tempat tinggal (syurga)" -  Surah Ar-Ra'du : Ayat 24



Papan tanda ini dalam bahasa Melayu  yang melarang sebarang perbuatan khurafat di makam para syuhada'






Cuaca sangat panas..syukur ada bawa payung cenderamata dari sahabat korporat TH - Kuwait Finance




Topi seperti ini juga sangat membantu di kala cuaca yang sangat panas. Dibeli di kedai serbaneka di Mekah.


Di sini cuaca sangat panas..tapi semua jemaah tetap tenang mendengar penjelasan daripada muzawwir kami Ustaz Salam. Setelah diberi penerangan, kami bersama-sama memberi salam dam berdoa untuk kesejahteraan para syuhada' di sini. 

Terharu apabila mengenangkan perjuangan mereka yang amat hebat menentang musyrikin Quraisy dengan sekadar menggunakan senjata yang ada pada masa itu seperti pedang dan lembing. Hibanya hati tatkala dikisahkan Saidina Hamzah Bin Abdul Muttalib berjuang habis-habisan membela Islam, dibunuh kejam oleh pembunuh upahan - Wahsyi. Subhanallah..akhirnya beliau digelar sebagai sayyidus syuhada' atau "Penghulu Bagi Sekalian Para Syuhada di Syurga". Dikatakan bahawa jenazah Saidina Hamzah yang mulia diuruskan oleh para malaikat yang diutus khas oleh Allah SWT dengan penuh kesyahduan.

Di sini kami diberikan cenderamata berupa buku berkenaan pengetahuan  agama Islam di dalam bahasa Melayu versi Indonesia. Terdapat juga ceramah agama yang berkumandang dalam bahasa Melayu Indonesia (menunjukkan dominan bahasa ini di sini). 

Rupa-rupanya bersama rombongan kami terdapat para wartawan daripada TV3 dan TV Al-Hijrah yang sedang membuat liputan untuk saluran televisyen masing-masing. Kelihatan mereka bersungguh-sungguh menjalankan tugas mulia membuat liputan haji 1433H di samping beribadat.

Kami akur dengan larangan keras muzawwir agar tidak mendaki Bukit Uhud kerana bimbang perkara yang tidak diingini berlaku kerana kami belum lagi menunaikan Haji...baru hari kedua di Madinah..belum sampai Mekah pun. Oleh itu, kami hanya memanjat anak bukit yang berhampiran sahaja. Jika masa umrah, kami bebas bergerak.

Pelbagai gerai jualan sekitar Bukit Uhud
Tamat lawatan ke Bukit Uhud, terus balik. Atur cara ziarah baiasanya bermula awal pagi lebih kurang 6.30 pagi dan berakhir pukul 11 lebih dengan anggaran sempat solat Zohor berjemaah di Masjid Nabawi. 

Selepas solat Zohor baru makan tengah hari. Lunch..dah mula teringat masakan Malaysia..kami keluarkan bekalan sambal tumis ikan bilis yang dimasak agak lama hingga pekat dan agak kering agar mudak dipek. Kami buat pek kecil-kecil agar mudah dimasukkan ke dalam beg sandang TH kerana biasanya lepas balik dari masjid terus makan dan kemudiannya baru naik ke bilik hotel.

Selain dari itu, pek kecil-kecil memudahkan kita bersedekah kepada sahabat-sahabat dan kenalan baharu di sana. Selaian daripada sambal tumis, saya juga bawa ikan masin kurau yang digoreng sebagai penambah selera. Tahan lama juga ikan masin ni.

Makanan di sini ok dan tiada masalah. Cuma bagi yang suka pedas kena bawa sambal sendiri. Alhamdulillah.. 



Previous Post Next Post