google.com, pub-5269643150766193, DIRECT, f08c47fec0942fa0 Wukuf di Arafah - Kemuncak Haji

Wukuf di Arafah - Kemuncak Haji





Dari sudut tempat saya di dalam khemah terus merenung langit biru.



Wuquf kamu di Padang Arafah, sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia dan bermegah dengan kamu ke atas  malaikat-Nya seraya berfirman 
"Hamba-hambaku, mereka datang kepadaku dengan kusut masai 
dari segenap penjuru mengharapkan syurgaku"

(Al-Tabarani)


Padang Arafah


Wukuf ialah berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah.

Padang Arafah adalah tempat pertama Allah SWT menerima taubat hamba-Nya. Di Jabal Rahmah, Adam dan Hawa bertemu setelah dikeluarkan dari syurga kerana kesilapan melanggar perintah Allah. Bertahun-tahun memohon taubat  di sini dan akhirnya taubat kedua-duanya diterima. Di sini, hasrat dan matlamat kita seperti Adam dan Hawa... memohon ampun dan berharap mendapat Haji Mabrur. Setiap amalan perlu dilakukan  merasakan kekerdilan diri kita kepada-Nya dan berharap agar amalan-amalan diterima Allah SWT.

Di Padang Arafah ini jugalah Rasulullah SAW menyampaikan khutbah haji (terakhir) dimana lebih kurang 124,000 hingga 144,000 manusia mendengar khutbah baginda yang begitu memilukan..dan mampu menggugurkan air mata walau kita tidak berada di situ ketika itu. Dengan khutbah ini, tahulah para sahabat bahawa baginda akan pergi buat selama-lamanya setelah selesai misi dakwah baginda.

Wahyu terakhir Nabi Muhammad SAW :
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu akan agamamu dan Aku sempurnakan pula nikmat-Ku kepadamu.”  Surah Al-Ma’idah, ayat 3.  
Menurut sejarah, 81 hari  setelah ayat ini diturunkan baginda pun wafat. Wallahu a'lam.


Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

Sumber dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Layari  http://www.islam.gov.my/



Bersama rakan sebilik..bersedia untuk misi ibadah wukuf



Para jemaah haji bergilir-gilir menggunakan lif untuk turun ke lobi


8 Zulhijjah 1432H - 4/11/2011 (Jumaat)

Bersiap-siap untuk bertolak ke Arafah. Jemaah lelaki agak kelam kabut sikit kerana perlu solat Jumaat terlebih dahulu. Jemaah wanita dah siap-siap solat Zohor dan makan tengah hari di bilik hotel. Kami turun ke lobi setelah dipanggil melalui interkom. Kalau semua turun sekaligus, bimbang sesak pula lobi hotel.






                                                                              
Jemaah haji beratur di lobi hotel untuk menaiki bas ke Arafah

        Lama juga beratur di lobi hotel ni. Sesiapa yang bawa kerusi lipat boleh duduk sambil menunggu.
Kami bergilir-gilir jaga beg dan giliran. Seorang duduk di kerusi sekitar lobi dan seorang lagi jaga beg. Setiap jemaah hanya dibenarkan membawa sebuah beg TH yang 5kg sahaja untuk memudahkan urusan turun naik bas dan keadaan khemah yang terhad di Arafah dan Mina nanti..itulah pesanan TH. Dalam bas, jemaah haji diingatkan agar sudah berniat ihram haji.



Keadaan hemah-khemah di Arafah pada waktu malam.

Khemah di Arafah diperbuat daripada kain dan kanvas yang dicantum-cantum dan diikat dengan tali. Lantainya pasir yang sebahagiannya ditutup dengan kanvas lama. 

Jadi, jemaah haji perlu bawa lapik plastik sebagai alas tidur dan solat. Kami guna alas/sejadah tebal warna oren sumbangan TM yang dibekalkan oleh  Tabung Haji. 

Khemah jemaah lelaki dan wanita agak jauh juga. Telefon dulu kalau nak jumpa. Kawasan ini berpagar. Hanya untuk jemaah haji Malaysia Maktab 87 sahaja.




Tengah-tengah tu untuk laluan..kanan kiri ialah khemah.

8 Zulhijjah : Lebih kurang pukul 6.45 malam kami tiba di Arafah dengan disambut oleh petugas Muassasah Arab Saudi (di Arafah dan Mina urusan jemaah haji seperti makan dan rawatan diambil alih oleh pihak Arab Saudi).kami diberikan cawan plastik, sudu, teh, gula, krimer dan biskut untuk bekalan sepanjang 2 hari 1 malam di sini. Makan malam ni ialah nasi, epal dan biskut.

Solat Maghrib dan Isyak jamak tamam (jamak maghrib 3 rakaat dengan Isyak 4 rakaat) dari dalam khemah iaitu tempat tidur masing-masing. Khemah memang disusun menghadap ke kiblat dan imam di surau lelaki yang disusun di hadapan khemah-khemah yang lain agar boleh solat berjemaah.

Malam ini tiada aktiviti khusus. Sebelum tidur ada taklimat agama oleh Ustaz Zamri. Jemaah digalakkan berehat dan tidur awal untuk persiapan menempuh hari esok bagi kemuncak ibadah haji iaitu Wukuf di Arafah. Tapi saya susah nak tidur..suasana agak bising. Terkebil-kebil je dalam gelap. Tiada lampu dalam khemah. Sempat juga duduk atas kotak terpakai di luar khemah yang ada lampu di bawah pokok untuk baca al-Quran.  Masih ramai jemaah yang baru tiba dan mencari-cari khemah hingga lewat malam di maktab 87 ni.

Satu khemah 10 orang (ada nombor tiang dan nama dilekatkan pada tiang di tengah khemah). Lebih kurang 10 khemah dicantumkan. Oleh itu, lebih kurang 150 orang dalam satu khemah yang besar.



Inilah tempat saya..di tepi pintu

Inilah tempat tidur/solat/berehat saya. Orang terakhir masuk khemah. So, dapat yang last sekali..di pintu khemah. Dengan penuh kesabaran saya buka lapik oren yang TM bagi tu. Saya letak beg di hujung kaki ketika tidur/solat supaya orang yang keluar masuk tidak terpijak/terlanggar.

Hikmahnya saya mudah keluar masuk tanpa perlu melalui laluan yang panjang. Selipar boleh dijaga agar tidak hilang. Sewaktu petugas hantar makanan, saya boleh bantu edarkan ..hulur hingga ke hujung khemah. Jadi, tak perlulah petugas lelaki nak masuk khemah wanita. Bila ada kotak buah/makanan terpakai, saya ambil jadikan lapik tempat tidur dan di pintu keluar masuk sebagai lap kaki agar pasir-pasir tidak terbawa masuk ke dalam khemah.

Inilah dia gambaran di dalam kubur nanti...
Kita hanya diperuntukkan satu kawasan kecil seperti liang lahad yang sempit..
Hanya ilmu, kesabaran dan keredhaan kepada Allah yang "meluaskan" tempat yang sempit ini..
Hanya amalan yang boleh meluaskan liang lahad yang menghimpit di dalam kubur kelak.




Tandas dihadang dengan zink untuk musim haji.



Ada 6 bilik tandas
Tandas ada 6 buah pada satu-satu tempat. Biasanya kami beratur dalam 5-6 orang pada satu masa. Keutamaan untuk qada' hajat. Tidak digalakkan mandi bimbang lama sangat...nanti orang di luar lama pula menunggu.





Air panas kena ambil di sini untuk buat air atau masak mee segera

8 Zulhijjah - makan malam : nasi/ buah/biskut/air mineral
9 Zulhijjah - sarapan nasi masakan ala Arab, pisang & biskut (air panas buat sendiri)
                 - makan tengah hari: nasi, buah & air mineral
                 - petang diberi mee segera
                 - makan malam: nasi, buah & air mineral

 
9 Zulhijjah : 3am sudah bangun untuk beratur ke tandas. Ada Qiamullail pada pukul 4 pagi dan seterusnya solat subuh. Sarapan nasi, pisang & biskut. Pagi ni ada lagi jemaah yang baru sampai terutamanya yang "Jemaah Haji Hospital"..yang uzur. Rakan-rakan sekhemah perlu membantu jemaah yang uzur ini.

Terus jalan-jalan sekitar kawasan bersama suami dan merakamkan gambar buat kenangan. Solat dhuha dan ada ceramah Dhuha. Masa selebihnya dipenuhkan dengan solat sunat, baca quran dan berzikir.

Sebelum waktu Zohor semua sudah bersiap-siap untuk bertemu dengan "wukuf di Arafah". Masuk waktu Zohor khutbah wukuf dibaca oleh Ustaz Zamri dengan penuh keinsafan dan penghayatan. Ramai yang tersedu-sedu..menginsafi dosa-dosa yang telah dilakukan dan kelemahan diri yang serba kekurangan.

Solat Zohor dan Asar jamak tamam. Doa Arafah dibaca. Selepas Asar berdoa di luar khemah hingga pukul 5.00. Solat maghrib dan isyak jamak tamam. Dan bertolak ke Muzdalifah.



Makanan di Arafah sangat mewah

Keseluruhannya makanan adalah mewah di sini. Lagi pulak orang Malaysia ni makan tak banyak. Sebelum bertolak kami difahamkan tiada makanan dibekalkan di Arafah dan Mina. Jadi, masing-masing menyerbu kedai runcit beli roti, biskut, buah dan mee segera. (Saya rasa TH cakap.. TH tak sediakan makanan di Masyaer...maksudnya jabatan muassasah Arab Saudi yang ambil alih. Bukan TH Malaysia. Tapi silap faham. Berat juga bawa makanan dan mug, sudu dsb dari Mekah).

Tapi alhamdulillah tiada masalah. Di tepi khemah ada tong sampah dan tong yang diisi air batu dan minuman air mineral atau air kotak. Siapa nak.. boleh ambil.

Mee segera yang dibawa dari Malaysia sudah habis. Nampaknya 10 bungkus mee segera tak cukup. Di Mekah ada produk mee segera dari Indonesia sahaja. Lain sikit rasanya....tapi lama-lama dah lali. Sebab.. itulah yang dihidangkan kepada kita.




Para petugas Muassasah (Arab Saudi) sedang menyediakan makanan



Pokok inilah yang ditanam di Padang Arafah. Memberi teduhan kepada para jemaah.


Semasa sesi ziarah ketika menunaikan umrah pada tahun lepas, muzawwir (pemandu pelancong) kami menyatakan benih pokok ini disumbangkan oleh Presiden Suharto, Indonesia kepada Kerajaan Arab Saudi. Difahamkan suatu ketika dahulu Padang Arafah adalah sangat panas dan kering kontang tanpa sebarang pokok. Umpama padang mahsyar. Kini ia telah menghijau...salah satu tanda hari kiamat. wallahu a'lam.



Menerjah khemah jemaah haji lelaki




Dari sudut tempat saya di dalam khemah terus merenung langit biru.



Menuju ke tempat menuggu bas setelah diarahkan.


Aktiviti di Padang Arafah :
8 Zulhijjah - Malam (solat maghrib & Isyak/makan malam/rehat/tidur)
9 Zulhijjah - Tengah malam (solat tahajud/hajat/taubat/berzikir)
                   Solat subuh berjemaah dari dalam khemah
                   Urus diri dan sarapan pagi
                   Baca Quran, berzikir, solat dhuha, istughfar, talbiah
                   Makan tengah hari
                   Azan zohor - Khutbah Arafah dibacakan & Solat zohor & asar jamak tamam
                   Agak-agak dah redup sikit...3.30- 5pm kami berada di luar khemah.
                   5pm bersiap untuk ke Muzdalifah pula.


Barang yang perlu dibawa ke Arafah & Mina :
(Lelaki )
  • Kain ihram 3 helai  : pakai sepasang. Sehelai lagi standby jika kotor.
  • Kain pelikat tidak berjahit 
  • Kain pelikat berjahit
  • Baju sejuk
  • Selipar
  • Tuala 
  • Stokin
  • Pakaian dalam
  • Gunting/Shaver
  • Plastik baju kotor
  • T-shirt Pagoda
  • Makanan & minuman
  • Uncang batu
  • Lampu picit
  • Jubah @ Baju Melayu & seluar slack
  • Ubat-ubatan (jika perlu)
  • Peralatan mandian
(Wanita)
  • Pakaian ihram wanita (telekung/jubah putih/stokin/arm sock/kasut)
  • Selipar
  • Tudung & anak tudung
  • Telekung
  • Pakaian dalam
  • Peralatan mandian
  • Stokin & arm sock
  • Jubah/baju kurung 2
  • Kain batik
  • Baju sejuk
  • Selimut (jika perlu)
  • Makanan & air mineral
  • Ubat (jika perlu)
  • Plastik baju kotor
  • Uncang batu
  • Gunting kecil 

Amalan-amalan sunat ketika berwukuf :
  • solat berjemaah
  • bertalbiah
  • berdoa
  • berzikir
  • membaca al-Quran
  • solat sunat               

Waktu wukuf
Bermula daripada gelincir matahari 9 Zulhijjah hingga terbit fajar pada 10 Zulhijjah
(maksudnya Arafah hanya berpenghuni sekali satahun sahaja iaitu hanya 2 hari 1 malam oleh jemaah haji )


Wukuf di  Arafah  (9 Zulhijjah 1432H - 5/11/2011 Sabtu)
  • Waktunya bermula dari gelincir matahari 9 Zulhijjah hingga sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah
  • Selepas azan Zohor..kami mula berwukuf dengan mendengar khutbah yang disampaikan oleh guru agama Maktab 87 Ustaz Zamri Zainal Abidin IKIM dengan penuh kesyahduan. hampir semuanya mengalirkan air mata dan menangis teresak-esak mengenangkan dosa-dosa yang pernah dilakukan. 
  • Khutbah ini menyentuh tanggungjawab sebagai ibu bapa, suami isteri, anak, seorang muslim dan muslimah. Terbayang dosa-dosa lalu dan tanggungjawab yang telah diabaikan serta bimbang dengan kemampuan untuk menurut segala perintah Allah selepas pulang ke tanah air nanti. Khutbah ini saya rakamkan menggunakan handycam agar dapat dihayati di tanah air kelak dan boleh mengubat rindu kepada bumi Arafah dan Rasulullah SAW. Kalau kita buat umrah pun..tak dapat macam ni kerana ia hanya berlaku pada musim haji sahaja. 

  • Selepas waktu asar, kami suami isteri bawa buku-buku doa, tasbih, air dan biskut, lapik oren tu dan cari kotak untuk alas duduk di kawasan yang terbuka tanpa bumbung untuk berdoa dan bermunajat. Alhamdulillh dapat duduk di kawasan strategik dan boleh doa dengan khusyuk. Kalau di tempat laluan mesti tiada privacy. Inilah waktu yang mustajab untuk berdoa. Kami berdoa, bermunajat dan merintih tak henti-henti dengan bersungguh-sungguh. Entah bila lagi kami bertemu dengan "wukuf di Arafah". Habis semua buku doa kami baca. Doa titipan rakan-rakan juga saya baca yang dicatat pada buku nota kecil yang khas...berulang kali. Ada juga doa yang dikarang khusus untuk kami sekeluarga. Kerana lain individu, lain permintaannya. Syukur kami masih sempat berdoa hingga sebelum terbenam matahari (maghrib) sebab bas no. 7 belum dipanggil lagi.

  • Pada hari ini tiada hijab di antara Allah dan hambanya. 

  • Di sini dan Mina tiada bekalan elektrik untuk charge hand phone, kamera, handycam, laptop dsb. Oleh itu kena pandai-pandai berjimat. Kami suami isteri berpakat setelah masing-masing mengucapkan selamat malam, handphone akan off hingga subuh esok hari. Alhamdulillah bateri handphone cukup sampai pulang ke Mekah semula (kira-kira 4 hari).
          # Pada masa ini belum ada lagi smartphone & powerbank. Tiada whatsapp dll.........

  • Di Arafah semuanya masih dalam ihram. Kaum wanita perlu berhati-hati dan peka dengan penjagaan aurat. Aurat ketika ihram ialah seluruh anggota badan kecuali muka dan tangan termasuklah jika wanita itu dalam keadaan haid..namun setelah berniat ihram, peraturannya perlu dipatuhi. Ketika ke tandas pun perlu berpakaian lengkap dengan stokin. Buka stokin di kawasan tandas yang dikepung dengan zink. Di dalam khemah perlu sentiasa bertudung/telekung kerana khemah tidak tertutup sempurna dan ada masanya jemaah lelaki datang mencari isterinya.

  • Sebelum bertolak ke Arafah maklumkan kepada pasangan masing-masing (atau catat) nombor khemah di Arafah dan Mina agar mudah berjumpa. Ada yang dah 2-3 hari tak jumpa isteri. Hand phone tiada bateri. Khemah isteri tidak tahu di mana. Ia boleh menyebabkan perselisihan faham yang mesti dielakkan.

Fadhilat Hari Arafah

  • Pembebasan daripada api neraka

    Aishah r.ha. berkata, Rasulullah SAW telah bersabda :

    Maksudnya : "Tidak ada hari yang Allah SWT membebaskan ramai hamba-Nya daripada api neraka lebih ramai daripada hari Arafah. Allah SWT sangat hampir kepada hamba-Nya dan berbangga-bangga dengan mereka kepada malaikat dengan berfirman "Apa yang mereka mahu".

  • Kelebihan puasa sunat Hari Arafah (9 Zulhijjah)
        Rasulullah SAW bersabda :
        Maksudnya : Aku berharap agar Allah SWT akan menghapuskan dosa pada tahun yang   
        sebelum dan selepasnya".
 

  • Limpahan rahmat dan pengampunan dosa
          Daripada Ibn Umar Rasulullah SAW bersabda :
          Maksudnya : "Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya Allah SWT telah turun ke 
          langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu kepada malaikat dengan firman-Nya
          : 'Hamba-hamba-Ku datang dari segenap pelusuk yang jauh, dalam keadaan tidak terurus dan 
         berdebu-debu tubuh mereka, semata-mata mengharapkan syurga-Ku. Jika mereka datang dengan 
         dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan atau buih di lautan nescaya Aku akan menghapuskan
         kesemuanya. Allah SWT berfirman : "Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan
        daripada kamu dan bagi sesiapa yang kamu meminta ampun untuk mereka".


  • Sebaik-baik doa ialah doa pada Hari Arafah

   
Sketsa
Dalam surat khabar, pada hari wukuf di Arafah biasanya dipaparkan  gambar jemaah haji serba putih sedang berada di Jabal Rahmah dan sekitarnya. Tapi bila kita pergi haji, kita hanya perlu berada di khemah yang disediakan. Ini untuk menjaga kemaslahatan dan keselamatan jemaah. Tidak dibenarkan keluar pagar sebarangan. Jutaan jemaah berada di luar sana. Ramai yang tidak disediakan khemah selesa seperti jemaah Malaysia. Jemaah Malaysia dijaga dengan baik oleh TH. Alhamdulillah.

" Bila kita nak pergi Padang Arafah ni? Asyik dalam kawasan khemah je", tanya seorang makcik.
" Inilah padang Arafah. Kita berdoa di sini sahaja".
" Ooo...makcik ingat kita kena jalan ramai-ramai pergi padang...macam padang mahsyar yang luas". !
.


Kesimpulan :
Memang patutlah wukuf di Arafah dipanggil kemuncak haji. Seperti di Mahsyar..manusia tidak terfikir untuk berhias diri dan bersenang-senang. Semuanya sama...berpakaian putih ..dalam keadaan berdebu dan "mereka datang kepada-Ku dengan kusut masai..."  (Hadis) dengan satu tujuan..mengharap keampunan dari Ilahi. Ia meninggalkan sejuta kenangan terlalu manis khusus antara seorang hamba dengan Penciptanya. Lain individu, lain perasaan dan penghayatannya. Saya berkata dalam hati " satu hari nanti aku yang kerdil ini akan ke sini lagi...jika ada izin-Mu ya Allah". Amin


Catatan :
Jarak dari Mekah ke Arafah ialah 21.9km.




Kenang-kenangan :


Cawan, krimer , gula dan teh uncang disediakan. Cawan biru dapat di Mekah. Cawan coklat di Arafah.

2 Comments

  1. Assalamualaikum sahabatku..

    Satu perkongsian yang amat baik..maklumat yang lengkap..dan menginsafkan..
    Amat berguna buat diriku yang InsyaAllah akan menjadi tetamuNya jua

    Terima kasih Jijah

    ReplyDelete
  2. salam puan
    terimakasih atas perkongsian pengalaman dan maklumat

    ReplyDelete
Previous Post Next Post