Sungai Mekong adalah sungai ke-12 terpanjang di dunia. Dalam mata pelajaran Sejarah dan Geografi, tentunya kita pernah mendengar nama sungai ini. Di tebing Sungai Mekong telah wujud tamadun budaya Indian-Khmer sejak zaman logam. Dari aspek Geografi, sungai ini membekalkan sumber air kepada penduduk sekitarnya disamping menyediakan habitat kepada ribuan spesies binatang dan tumbuh-tumbuhan.
Delta Mekong pula mempunyai pemandangan yang sangat menarik sehingga menarik pelancong ke tempat ini. Industri pelancongan di sini semakin meningkat dengan kehadiran ribuan pelancong dari Malaysia saban tahun. Tidak hairanlah kebanyakan peniaga di sini boleh berbahasa Melayu sedikt-sedikit.
Kilang Gula-gula Kelapa (Coconut Candy Factory)
Eksplorasi saya dan rombongan bermula dengan menaiki bot. Bot dipandu dengan perlahan dan santai dengan tempat duduk yang selesa. Setibanya di sebuah pulau, kami dibawa ke kilang pembuatan gula-gula kelapa. Pengunjung diberikan taklimat bagaimana gula-gula kelapa dihasilkan bermula dari cara kelapa dipecahkan sehingga ke proses pembungkusan. Di sini terdapat pelbagai jenis jualan makanan ringan yang diperbuat daripada kelapa dan kacang tanah yang halal dimakan. Ais krim kelapa pun ada. Sedap juga..rasa kelapa muda.
Proses pembungkusan gula-gula kelapa
Tempat Penghasilan Madu
Di sini kami disajikan makanan ringan kerepek pisang dan bipang. Juga minuman air madu yang dicampur dengan limau kasturi dan propolis lebah. Semua bahan-bahan ini adalah jualan di sini. Saya berpeluang memegang sarang lebah yang tidak mengganggu manusia. Terdapat juga jualan susu lebah atau royal jelly yang mempunyai khasiat untuk kesihatan. Susu lebah adalah campuran kolagen, air dan pelbagai enzim dan hormon.
Jamuan Buah-buahan Diiringi Nyanyian Medley Lagu-lagu Melayu
Perjalanan kami diteruskan ke tempat jamuan buah-buahan tempatan dengan menaiki kereta kuda. Ini adalah pengalaman yang menarik. Sebuah kereta kuda memuatkan 5-6 orang penumpang. Kemudian kami berjalan kaki beberapa minit ke pondok untuk jamuan. Kami dihidangkan dengan buah jambu batu, nenas, buah naga dan buah ciku. Lebih menarik lagi, pemandu pelancong kami memperkenalkan buah susu. Kami ditunjukkan cara makan buah susu yang terdapat dalam dua warna iaitu hijau dan ungu.Manis betul rasa buah susu. Sedap!
Badanku kurus bukannya kurang makan
Mataku merah bukannya kurang tidur
Sedih hatiku kerana si jantung hati
Ooo...si jantung hati
Sedang kami leka menjamah buah-buahan, muncul tiga orang wanita diiringi sekumpulan pemain alat muzik menyanyikan lagu Melayu. Pada tahun 2011 saya pernah ke sini, namun mereka menyanyikan lagu berbahasa Vietnam dan tempat duduk pun tidaklah serapi sekarang. Banyak perubahan yang dilakukan mengikut perkembangan semasa.
Dayung..dayung sampan
Eksplorasi Delta Mekong dan mengenali sosiobudaya serta ekonomi di sini berakhir dengan menaiki sampan menuju ke muara sungai untuk menaiki bot kembali ke tanah besar Ho Chi Minh.
Setiap sampan memuatkan empat orang. Sampan didayung oleh dua orang sama ada lelaki atau pun wanita. Rasanya jika kami yang disuruh mendayung, tidak pasti bila boleh sampai ke destinasi. Mungkin juga kan berlanggar dengan sampan-sampan yang lain..
Anda akan diberikan topi Vietnam (non la) bagi mengelakkan daripada terkena pancaran panas cahaya matahari sambil menghayati keindahan dan kedamaian berdayung di sepanjang sungai. Suasana sungguh tenang, sunyi, damai dan mengasyikkan dengan desiran dedaunan pokok nipah yang tumbuh subur di kanan dan kiri sungai. Terlupa seketika kesibukan kerja dan tugasan di tanah air. Bagi yang pertama kali menaiki sampan, pastinya ia satu pengalaman yang amat indah. Subhanallah..atas ciptaan-Nya.
Setibanya kami ke dalam bot, kami disajikan pula dengan air kelapa muda yang segar dan manis. Kecil sahaja buahnya, namun airnya manis dan wangi bau kelapa. Sungguh indah pengalaman pada hari ini.
Penutup :
Eksplorasi ini membawa kita lebih dekat kepada Yang Maha Pencipta. Banyak sumber alam semulajadi yang boleh dijadikan sebagai sumber ekonomi penduduk setempat dan boleh memajukan industri eko-pelancongan. Mungkin idea-idea daripada program pelancongan di sini boleh diadaptasi di Malaysia bagi mempelbagaikan lagi industri pelancongan negara.
Nantikan coretan siri travelog seterusnya pada posting-posting yang akan datang!