google.com, pub-5269643150766193, DIRECT, f08c47fec0942fa0 TRAVELOG JEPUN - DAY 1 & 2 : AICHI SHOGYU HIGH SCHOOL, NAGOYA

TRAVELOG JEPUN - DAY 1 & 2 : AICHI SHOGYU HIGH SCHOOL, NAGOYA




Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor
UNESCO Heritage Discovery and Linkage Program
with Aichi Shogyu Commercial High School, Nagoya, Japan


Sebagai sebuah sekolah yang berstatus Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Sekolah Kluster Kecemerlangan, pihak Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor (SSP) perlu mengadakan program jaringan dan jalinan dengan sekolah, kolej atau universiti di dalam dan luar negara sebagai memenuhi salah satu KPI SBT yang ditetapkan yang membawa wajaran sebanyak 10%..

Pengalaman menyertai program ini saya coretkan di laman blog ini sebagai dokumentasi, kenangan, informasi dan panduan.


Pengenalan

Salah satu daripada program yang dijalankan oleh Sekolah Seri Puteri ialah program jalinan ke Aichi Shogyu Commercial High School di Nagoya, Jepun. Sekolah ini adalah "sister school" atau sekolah angkat kepada Sekolah Seri Puteri dan telah mengadakan Memorandum  Persefahaman (MoU) untuk mengadakan lawatan balas selang setahun. Contohnya pada tahun ini SSP ke Aichi Shogyu, pada tahun hadapannya mereka pula akan ke SSP dan begitulah seterusnya.

Oleh kerana sekolah Aichi Shogyu ini adalah adalah ahli kepada UNESCO Associated Schools, maka kelab UNESCO Sekolah Seri Puteri yang juga ahli kepada pertubuhan tersebut, telah mengambil inisiatif untuk menjayakan misi program pengantarabangsaan ini. 

 Program ini disertai oleh 28 orang murid (26 orang Tingkatan 4 dan 2 orang Tingkatan 2) diiringi oleh 4 orang guru iaitu Dr Adzuhaidah & Pn Norazmi (Guru Kelab Unesco), Pn Nor Jihah (Guru Bahasa Jepun) dan  Pn Azizah (GKMP Kemanusiaan) mewakili pentadbir.

Program yang menelan belanja sebanyak RM192,000 ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh peserta sendiri.. Guru dan murid mengeluarkan kos sebanyak RM6,000 tiap seorang.. Perancangan telah dirangka setahun lebih awal sebelum tarikh berlepas kerana banyak persiapan yang perlu diuruskan dan ia melibatkan kos yang tinggi memandangkan matawang yen Jepun agak tinggi berbanding ringgit Malaysia.



Objektif Program

Di antara objektif program ini ialah :

1. Melahirkan generasi muda yang lebih berfikiran terbuka, peka, faham, sensitif dan lebih toleran terhadap perbezaan budaya dan tradisi masyarakat dan kaum di negara-negara lain yang mana persefahaman ini akan mewujudkan keamanan sejagat (world peace) khususnya di Asia.

2. Memberi keyakinan kepada murid-murid ke arah globalisasi dengan menimba pengalaman dan pengetahuan baharu yang membolehkan sekolah menjadi lebih cemerlang di peringkat antarabangsa.


Konsep Program

Homestay - Para pelajar akan tinggal dengan keluarga angkat Jepun sepanjang program di Nagoya. Keluarga angkat ini ialah ibubapa kepada rakan angkat (buddy) pelajar SSP di sekolah Aichi Shogyu.


Musim di Jepun

April : Musim bunga (spring). Suhu sekitar 19°C pada waktu siang dan 10°C pada waktu malam.



Persiapan awal

1. Menyediakan kertas kerja 
    - Mengenal pasti guru dan  murid yang akan turut serta.
    - Draf itinerari program dibincangkan dengan pihak sekolah Aichi Shogyu.
2. Kertas kerja disemak dan diluluskan oleh pengetua.
3. Borang permohonan mengadakan program di luar negara, borang insurans dan Kertas Kerja dihantar
    kepada Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) 
4. Kelulusan akan diberikan setelah diberi pelepasan oleh Bahagian Kewangan, KPM.
5. Menguruskan borang kebenaran ibu bapa dan kutipan wang.
6. Pengurusan passport dan urusan pembelian tiket kapal terbang.
7. Urusan designing dan tempahan baju T-Shirt program, banner, sijil, plak dan cenderamata.
8. Menyediakan buku program dan buku modul untuk dilengkapkan oleh peserta di Jepun.
9. Taklimat khas sebelum bertolak.

Catatan : 
Kami menggunakan khidmat J-Horizons Travel (M) Sdn Bhd untuk urusan logistik, pengangkutan dan penginapan.
 

DAY 1

Di Lapangan Terbang KLIA 
(KLIA - Bangkok : 2105-2210)





Hidangan ringan disediakan oleh Thai Airways
(Bangkok - Chubu : 0005-0730)



Transit di Bangkok.


DAY 2

Alhamdulillah mendarat di Chubu International Airport, Nagoya, Japan





Mesin ATM di Chubu Airport



Tiba di Aichi Shogyu High School menaiki bas. 


 

Saya lihat nun di tingkap kelas, ramai yang melambai tangan teruja dengan kehadiran kami


Pintu masuk sekolah. Sungguh terharu dengan sambutan yang diberikan




Selepas memasuki pintu utama, kasut diletakkan di rak yang disediakan
kemudian memakai kasut khas ini sebelum masuk ke bahagian dalam sekolah. 
Di dalam kelas pun pakai kasut ini juga.





Sesi perjumpaan dan perbincangan dua hala 
dengan pengetua  Aichi Shogyu Commercial High School, Nagoya



Lawatan sekitar sekolah. 
Antaranya : Projek madu lebah di atas bumbung sekolah oleh Kelab UNESCO



Masuk kelas belajar Bahasa Jepun yang asas untuk memudahkan komunikasi










Seterusnya ialah aktiviti mengenali budaya Jepun seperti mempelajari cara-cara memakai pakaian tradisional Jepun - yukata, permainan tradisional Jepun dan lain-lain lagi. Kami juga membuat promosi makanan Melayu, mata wang ringgit dan pelancongan di Malaysia. Bahan-bahan brosur pelancongan diterima daripada Kementerian Pelancongan.


Lunch box untuk kami. Nampak tak ada cop Halal?
Mereka amat mengambil berat keperluan kami sebagai Muslim. Masya Allah..



Inilah isi kandungan Lunch Box kami hari ini. Sedap, cantik & kemas. Konsep Bento

Apakah Bento? 
Bentō (弁当 atau べんとう) atau o-bentō adalah istilah bahasa Jepun untuk makanan bekal berupa nasi dan lauk-pauk dalam bungkusan praktikal yang boleh dibawa dan dimakan di tempat lain. Seperti nasi bungkus, bentō boleh dimakan sebagai makanan tengah hari, makan malam, atau bekal perkelahan.


Menjengah makan tengah hari murid-murid di sini.
Nampak tak yang di kanan tu? Ada lapik khas bekas makanan mereka.


Para peserta Aichi Shogyu yang menyertai program ini mengenakan Tshirt khas. Terharu..siap ada logo Sek. Seri Puteri. Mereka berikan kami sepasang T-Shirt ini berwarna kuning sebagai cenderamata. Semua perserta adalah pelajar perempuan kerana mereka menghormati budaya Muslim yang tidak bercampur lelaki dan perempuan secara bebas.

Untuk pengetahuan pembaca, pelajar di Sekolah Aichi adalah berusia antara 16 hingga 19 tahun



Ketua kelas yang ceria dan peramah. Inilah bekalan yang dibawanya dari rumah.


Untuk makluman pembaca, sekolah ini tidak mempunyai kantin. Guru makan di Bilik Guru manakala murid makan di dalam kelas di meja masing-masing. Selepas makan, mereka kemas dan bersihkan semula meja. Makanan semuanya dibawa dari rumah. Makanan sihat.Tiada jualan makanan. Masya Allah,,hebat sungguh.



Opening Ceremony. Wakil pelajar Sekolah Seri Puteri berucap

Majlis Perasmian dijalankan di dewan sekolah. Dimulakan dengan ucapan Pengetua Sekolah Aichi Shogyu kemudian ucapan oleh Pn Azizah selaku wakil Sekolah Seri Puteri dan diikuti ucapan oleh wakil SSP. Akhir sekali, murid SSP membuat persembahan tarian tradisional Melayu.

Kebanyakan murid sekolah ini menggunakan pengangkutan awam train untuk berulang alik ke sekolah. Pengalaman baharu kepada murid SSP. Mereka ikut pulang ke rumah rakan angkat dengan memakai baju kebaya tarian tadi, kasut sukan dan membawa beg bagasi. 







Teruja melihat perhimpunan mereka. Ada teknik duduk yang khusus. Para pelajar SSP duduk di kerusi bersama dengan rakan angkat (buddy) mereka manakala pelajar-pelajar Aichi Shogyu duduk di bawah


Di dalam majlis ini juga pelajar Sekolah Seri Puteri diperkenalkan dan diserahkan kepada ibu dan bapa angkat masing-masing. Seterusnya mereka pulang ke rumah keluarga angkat dan bermalam di sana selama 4 hari 3 malam.



Sebelum pulang, kami terserempak dengan sekumpulan pelajar lelaki yang peramah.
Kemas dan menarik sekali uniform mereka.


Bersambung ke entri seterusnya...
JJCM di Nagoya..



Baca dan tonton juga..Siri Travelog/Vlog:
Previous Post Next Post